Thursday, December 07, 2006

Pengisytiharan MBM Menjelang Anugerah Keri

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Atas permintaan (yang sebenarnya tidaklah sebegitu) ramai, saya dengan penuh terharu ingin memberikan sepatah dua kata bersempena dengan Minggu Bahasa Melayu di wadah komuniti siber kita ini.

Pelancaran Minggu Bahasa Melayu ini memanglah kena pada masanya. Bahasa ibunda kita yang tercinta kini sedang menghadapi cabaran yang getir. Dari pemimpin yang merasakan Bahasa Melayu tidak layak untuk mengungkapkan angka dan ilmu sains, hinggalah pelakon muda yang "merasa bodoh" apabila bertutur dalam bahasa Melayu, kelangsungan hidup bahasa kita ini semakin hari semakin tergugat.

Justeru adalah diharapkan supaya usaha seperti Minggu Bahasa Melayu ini dapat sedikit-sebanyak menobatkan bahasa ibunda kita ke tempat yang sepatutnya.

Setelah difikirkan dengan panjang (dua minit je, sebenarnya) berikut ialah peraturan Minggu Bahasa Melayu (MBM):

1. Berlangsung selama seminggu iaitu tamat hari Khamis minggu depan. Tetapi sekiranya kadar taipan semua orang meningkat dalam seminggu ini, boleh dipertimbangkan agar MBM dipanjangkan (haha).

2. Semua perhubungan haruslah dalam Bahasa Melayu (perlu diungkapkankah peraturan yang memangnya harus sebegitu ketara?)

3. Semua AMAT digalakkan menggunakan peribahasa, pepatah-petitih, simpulan bahasa, bidalan, perumpamaan, pantun, gurindam, bahasa klasik dalam e-warkah masing-masing.

4. Sekiranya tertekan dan tidak tahu ungkapan bahasa Melayu untuk sesuatu, terjemahan yang inovatif dan kreatif adalah dialu-alukan. (contoh "ditangkap bertangan merah" - Che Mad; "menggelupur atas lantai ketawa terbahak-bahak" - Nikolai Fyodorevich Zamirinsko)

5. Jika "terpaksa" juga menggunakan nama atau kata bahasa Inggeris, sila eja cara bahasa Melayu ("Carey" = "Keri", "absorber" = ebzobe) menurut peraturan Ejaan Bahasa Melayu Baru keluaran DBP tahun 1970.

6. Sebarang perselisihan dan sungutan bahasa akan diselesaikan secara ijithad (baca: direka ikut suka hati) oleh saya.

Sekian, dan majulah sukan untuk negara.

Fazurin
P.S. Belum dapat jadi bapak budak, jadi Bapa Bahasa Melayu pun jadilah.

2 comments:

Anonymous said...

mata aku juling ke mmg ada pos dua kali? apakah bentuk hukuman/denda terhadap penyangak bahasa?

Anonymous said...

Ditiup angin bunga semalu
Kuncup daunnya bila berlaga
Bercakap Inggeris kononnya malu
Belacan setongkol dibedal juga